KUALA LUMPUR: Pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa tuduhan beliau mendukung agenda yang melemahkan kedudukan orang Melayu dan Islam adalah tidak benar.

Tegas Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, ia adalah sentimen yang tidak patut lagi dimainkan kerana ia akan merencatkan langkah negara menuju kemajuan.

Katanya, walaupun sudah 65 tahun merdeka, negara masih menyaksikan masalah perpaduan kerana hasutan berbaur hal-hal sensitif masih dimainkan terutamanya di pentas politik, khususnya pada musim pilihan raya.

“Tak kisah orang itu datang daripada blok mana atau parti mana sekalipun, kita semua rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan yang jelas tentang agama, hak orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Kenapa kita nak mainkan sentimen-sentimen ini?

“Sebab itu, saya rasa, politik juga ada batasnya. Jangan terlalu hendak menang hingga kita membuat hasutan-hasutan yang boleh membahayakan Malaysia. Cukup-cukuplah,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.

Jelas beliau, rakyat Malaysia sudah punyai kesepaduan sosial tetapi inilah masanya untuk mempereratkannya lagi melalui kerajaan perpaduan dan ia perlu disegerakan.

Sekali lagi, sepertimana pemerhati-pemerhati politik lain, beliau menggesa supaya rakyat melihat kepada apa yang berlaku di Barat di mana mereka bertelagah ketika berkempen tetapi selepas selesai pilihan raya, mereka bersatu untuk bersama bekerja demi rakyat dan negara.

“Jadi, semua harus berjiwa besar, terima keputusan PRU (pilihan raya umum) yang baru berlalu dan 'let’s move on'.”

Cukup-cukuplah main sentimen, bersatulah demi negara - Anis Yusal